SHAH ALAM, 8 JULAI- Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) ingin mengajak bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan ahli-ahli yang lain untuk menyertai parti mereka.

Ketua Pemuda Amanah, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, penyertaan Syed Saddiq bakal merancakkan lagi gerakan anak muda dalam arena politik tanah air.

“Susulan pemecatan Ahli Parlimen Muar itu daripada Bersatu serta ramai anggota pimpinan Armada yang mungkin diketepikan, Pemuda Amanah ingin mengajak seluruhnya untuk bersama-sama berjuang dalam Amanah.

“Amanah bukanlah asing bagi Syed Saddiq dan rakan-rakan Armada kerana sejak menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sehingga ke hari ini, Amanah terus bekerjasama dengan kumpulan Bersatu pro Tun Dr Mahathir Mohamad termasuklah Syed Saddiq,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, Pemuda Amanah terbuka untuk menerima penyertaan tokoh dan para aktivis anak muda ini ke dalam parti untuk bersama-sama memperjuangkan Malaysia ke arah yang lebih baik.

Sementara itu, Armada dalam satu kenyataan semalam memaklumkan Naib Ketuanya, Mohd Aizad Roslan kini menerajui sayap Bersatu itu susulan pengguguran keahlian Syed Saddiq pada 28 Mei lalu.