Kuala Terengganu, 10 JULAI – Program Pembangunan Usahawan Coklat telah diperkenalkan oleh Lembaga Koko Malaysia pada tahun 2013 di bawah RMKe-10. Program ini diadakan untuk memperkasa industri hiliran koko melalui peningkatan kualiti dan pengeluaran produk usahawan coklat. Antara aktiviti dibawah Program ini ialah Kursus Asas Pembangunan Usahawan Coklat Buatan Tangan.

Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi , YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Bin Aman Razali berkata, Lembaga Koko Malaysia akan membantu mereka yang berjaya menjadi usahawan dalam program ini. Antara bantuan yang akan diberikan adalah seperti mesin pencair coklat, mesin pembungkusan (pillow pack), mesin continuos tempering dan insentif menaik taraf premis (GMP, Halal & HACCP) serta bantuan untuk mereka bentuk konsep dan logo produk.

“Peruntukan sebanyak RM3 juta telah diluluskan bagi program ini dan sehingga 30 Mei 2020 sebanyak 224 usahawan telah dibimbing di bawah program tersebut dengan pendapatan sebulan di sekitar RM2 ribu hingga RM5 ribu sebulan. Hasil daripada pelaksanaan program ini dan program berkaitan usahawan oleh agensi-agensi lain telah membantu usahawan coklat dan konfeksi koko untuk meningkatkan pengeluaran sebanyak RM10.7 juta atau 0.7% daripada keseluruhan sumbangan sektor hiliran koko Malaysia pada tahun 2019,” ujar beliau ketika merasmikan Kursus Asas Pembangunan Usahawan Coklat Buatan Tangan Kuala Nerus di Kuala Terengganu pada hari ini.

Menurut beliau, pelaksanaan aktiviti dan Program Pembangunan Usahawan Coklat di Negeri Terengganu perlu dipergiatkan dan Kuala Nerus dipilih sebagai kawasan perintis bagi pembangunan usahawan coklat di negeri Terengganu dan seterusnya mempromosi perusahaan coklat buatan tangan sebagai medium untuk meningkatkan pendapatan, terutamanya bagi golongan B40. 

Dato’ Dr Mohd Khairuddin berkata, beliau berharap, pelaksanaan Program Pembangunan Usahawan Coklat dapat melahirkan lebih ramai usahawan coklat buatan tangan baharu khususnya di negeri Terengganu dan usaha ini dapat meningkatkan lagi pengeluaran coklat keluaran tempatan oleh usahawan-usahawan coklat bimbingan LKM di samping membangunkan jenama-jenama coklat tempatan dan meningkatkan saiz pasaran produk koko domestik.