Kuala Terengganu, 10 JULAI – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bertanggungjawab kepada sektor agrikomoditi, di mana sektor ini telah menyumbang 6.1% atau RM86.5 bilion kepada KDNK dan manakala pendapatan eksport agrikomoditi pada tahun 2019 pula direkodkan telah sebanyak RM125.6 bilion atau 12.7% daripada keseluruhan eksport negara.

Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi , YB, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Bin Aman Razali berkata, sektor koko secara khususnya telah menyumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sebanyak RM1.6 bilion pada tahun 2019. Produk-produk berasaskan koko di Malaysia mempunyai liputan pasaran yang luas dan diterima baik oleh pengguna pada peringkat antarabangsa. 

“Pencapaian sektor koko perlu ditingkatkan bagi membolehkan Malaysia terus bersaing sebagai pasaran yang penting selain mengambil peluang terhadap pasaran antarabangsa yang giat berkembang. Penggalakan aktiviti peringkat hiliran juga akan terus diberi keutamaan bagi memastikan industri koko tempatan kekal berdaya saing,” ujar beliau ketika merasmikan Kursus Asas Pembangunan Usahawan Coklat Buatan Tangan Kuala Nerus di Kuala Terengganu pada hari ini.

Menurut beliau, strategi dan program-program sedia ada perlu ditambah baik untuk memantapkan keseluruhan ekosistem industri hiliran merangkumi aspek pemasaran, perdagangan, pelaburan dan bantuan teknikal.