GOMBAK, 11 Julai – Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membandingkan kepimpinan antara Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau turut menyifatkan Muhyiddin sebagai seorang yang bertenang menghadapi tekanan manakala Anwar masih terus denga cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri.

Menurut beliau, ciri-ciri pemimpin yang bagus boleh dilihat ketika mereka berdepan krisis dan bagaimana cara mereka menyelesaikannya.

“Kalau tak ada krisis, semua orang boleh mendakwa boleh jadi pemimpin. Ada pihak sampai 20 tahun tak habis bincang nak jadi PM.

“Tetapi kita hari ini dengan tegas, berani dan tanggungjawab meletakkan fokus peduli rakyat dan memulihkan ekonomi sebagai agenda utama Perikatan Nasional,” kata beliau.

Menurutnya, Muhyiddin telah membuktikan dalam tempoh kurang lima bulan, beliau berjaya menangani pelbagai krisis demi rakyat dan kemakmuran negara.

“Beliau berdepan cabaran politik pada awal tahun ini, kemudian krisis ekonomi, harga minyak merudum dan hari ini berdepan krisis kesihatan namun kekal tenang berjaya menghadapi krisis itu.

“Saya harap rakyat terus beri dukungan kerana buat pertama kali dalam sejarah politik Malaysia berjaya mengumpulkan semua kekuatan umat Melayu dan Islam membangunkan negara,” ujarnya lagi.