GOMBAK, 11 Julai – Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilihat tidak lagi relevan disebabkan tindakan zalim yang dilakukan oleh pemimpin mereka sendiri.

Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia dapat dilihat melalui pemecatan keanggotaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Lembah Jaya, Haniza Mohamed Talha baru-baru ini.

“Keadilan (PKR) sudah tidak lagi relevan. Sejak beberapa tahun ini Parti Keadilan sudah tercalar dan rakyat sudah hilang keyakinan kepada kepimpinan yang ada pada hari ini,” ujar beliau ketika ditemui pada lawatan kerja di Kampung Nakhoda di sini, pada hari ini.

Menurut beliau, ramai lagi ahli PKR termasuk para pemimpin tertingginya merasakan parti itu sudah tidak lagi diterima masyarakat.

Kata beliau, mereka cuba berbicara mengenai reformasi dan keadilan tetapi mereka tidak boleh melakukan keadilan kepada ahli sendiri.

“Bagaimana mereka boleh membawa prinsip keadilan dalam pembangunan negara kalau prinsip keadilan ini tidak dapat diterjemahkan dalam proses tindakan disiplin terhadap mana-mana anggota di dalam parti.

“Dan sebab itu bagi saya YB Haniza seorang pemimpin yang cukup dihormati bukan soal dalam kerajaan atau parti,” ujar beliau.