Kuala Lumpur, 13 Julai – Kementerian Perusahaan Perladangan Dan Komoditi tidak berhasrat untuk menggantikan komoditi utama negara iaitu kelapa sawit dengan tanaman buluh. Kementerian ingin memperkasakan lagi industri sawit dengan kajian teknologi terkini sawit dan memperluaskan pasaran di luar negara. Pada masa yang sama pihak kementerian ingin menerokai peluang buluh sebagai satu lagi komoditi masa depan di samping pelbagai lagi produk komoditi lain.

Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi, YB, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Bin Aman Razali berkata, Kementerian telah menyenaraikan buluh sebagai salah satu tanaman hutan yang perlu dikomersilkan menerusi Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) bersama-sama dengan 8 lagi spesies tanaman hutan iaitu Getah TLC, Akasia, Kelampayan atau Laran, Batai, Jati, Binuang, khaya dan Sentang.

Menurut beliau, spesis buluh telah disenaraikan dalam PPLH pada tahun 2014 dengan saiz minimum 20 hektar dan mulai tahun 2020, saiz miminum bagi PPLH telah diturunkan kepada 4 hektar.

”Bagi membangunkan lagi industri buluh, Kementerian melalui Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) kini sedang dalam proses menghasilkan Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh Malaysia 2021-2030. Bengkel pertama yang melibatkan pelbagai pihak seperti agensi kerajaan, institut pengajian tinggi dan penggiat industri buluh telah pun diadakan pada 30 Jun 2020.  Susulan itu, beberapa siri bengkel dan konsultasi juga akan terus diadakan bagi menghasilkan Pelan Tindakan yang lebih komprehensif dan berimpak tinggi,” ujar beliau sewaktu Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua, Parlimen Ke-14 (Dewan Negara) pada hari ini.

Beliau berkata, kementerian juga telah menjalankan pelbagai inisiatif jangka pendek dan jangka panjang bagi membangunkan industri buluh di Malaysia. Antaranya membangunkan piawaian antarabangsa, menjalankan kerjasama R&D dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), menjalankan promosi seperti penganjuran World Bamboo Day dan ASEAN Bamboo Symposium, membina infrastruktur dan bangunan ikonik berasaskan buluh antaranya ialah Surau Buluh di Kuala Terengganu dijangka siap pada penghujung tahun 2020 dan meneruskan program-program pembangunan industri buluh dalam Rancangan Malaysia Kedua belas (RMKe-12).

“Dari segi prospek buluh, secara umumnya, saiz pasaran buluh global adalah besar iaitu berjumlah USD68.80 bilion pada tahun 2018. Justeru, peluang pasaran ini perlu diteroka kerana Malaysia mempunyai kelebihan dari pelbagai segi untuk membangunkan industri buluh,” ujarnya lagi.