PARLIMEN, KUALA LUMPUR – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) tidak bercadang menggantikan komoditi utama negara iaitu kelapa sawit dengan tanaman buluh, malah berhasrat memperkasakan lagi industri sawit dengan kajian teknologi terkini sawit, memperluaskan pasaran di luar negara, mempelbagaikan produk nilai tambah makanan berasaskan sawit di peringkat antarabangsa menerusi pelbagai lagi kajian kebaikan dan manfaat sawit kepada dunia. Dalam masa yang sama, peluang untuk membangunkan industri buluh serta pelbagai produk lain tetap diterokai.

Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) dibangunkan oleh pihak kerajaan bagi maksud mengiktiraf buluh sebagai salah satu tanaman hutan yang perlu dikomersilkan bersama-sama dengan 8 lagi spesies tanaman hutan iaitu Getah TLC, Akasia, Kelampayan/Laran, Batai, Jati, Binuang, khaya dan Sentang .

Menurut Menteri KPPK, Dato’ Dr. Khairuddin Aman Razali, PPLH diluluskan oleh Jemaah Menteri pada tahun 2005 dengan kelulusan dasar berjumlah RM1.045 bilion dan peruntukan disalurkan secara tahunan dengan peruntukan awal pada tahun 2006. PPLH telah dilaksanakan dengan kelulusan pinjaman bermula pada tahun 2007. Manakala spesis buluh telah disenaraikan dalam PPLH pada tahun 2014 dengan saiz minimum 20 hektar dan mulai tahun 2020, saiz miminum bagi PPLH telah diturunkan kepada 4 hektar. Baki terkini peruntukan PPLH adalah berjumlah RM85 juta. Kementerian juga sedang dalam proses mengubah skim pinjaman ini kepada pembiayaan patuh syariah.

Mangulas berkenaan pembangunan industri buluh, Kementerian melalui Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) kini sedang dalam proses menghasilkan Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh Malaysia 2021-2030. Bengkel pertama yang melibatkan pelbagai pihak seperti agensi kerajaan, institut pengajian tinggi dan penggiat industri buluh telah pun diadakan pada 30 Jun 2020. Susulan itu, beberapa siri bengkel dan konsultasi juga akan terus diadakan bagi menghasilkan Pelan Tindakan yang lebih komprehensif dan berimpak tinggi.

Selain itu, kementerian juga telah menjalankan pelbagai inisiatif jangka pendek dan jangka panjang bagi membangunkan industri buluh di Malaysia. Antara lain, termasuk membangunkan piawaian antarabangsa berkaitan buluh dan produk buluh, menjalankan kerjasama R&D dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) serta beberapa institusi pengajian tinggi awam dan swasta dalam pembangunan produk berasaskan buluh seperti venir, papan laminasi dan arang, menjalankan promosi seperti penganjuran World Bamboo Day dan ASEAN Bamboo Symposium yang melibatkan peserta tempatan dan luar negara, membina infrastruktur dan bangunan ikonik berasaskan buluh dengan kerjasama Kerajaan dan swasta seperti Masjid Buluh di Kuala Kangsar, Perak dan Gua Musang, Kelantan, Bamboo Playhouse di Lake Garden, Kuala Lumpur serta Bamboo Village di Ulu Langat, Selangor serta Surau Buluh di Kuala Terengganu dijangka siap pada penghujung tahun 2020 dan meneruskan program-program pembangunan industri buluh dalam Rancangan Malaysia Kedua belas (RMKe-12).

Menurut Menteri lagi, saiz pasaran buluh global adalah besar iaitu berjumlah USD68.80 bilion pada tahun 2018. Buluh boleh digunakan untuk menghasilkan papan lapis, perabot, makanan, fabrik, kraftangan, kutleri, pembinaan, eko-pelancongan dan bahan bakar seperti pembuatan arang dan pellet. Justeru, peluang pasaran ini perlu diteroka kerana Malaysia mempunyai kelebihan dari pelbagai segi untuk membangunkan industri buluh. Pokok buluh mudah ditanam dan dijaga serta mempunyai tempoh matang yang singkat iaitu di antara 3 hingga 4 tahun untuk dituai. Hasil yang mampu dijana melalui penanaman buluh adalah sebanyak RM64,000 sehektar. Manakala, kos untuk tanaman buluh termasuk kos buruh, anak pokok, penyelenggaraan dan pengeluaran sehektar adalah sebanyak RM28,000. Dengan mengambil kira kos-kos terlibat, dijangkakan pendapatan bersih yang boleh diperoleh adalah sekitar RM36,000 sehektar.

Menteri, Dato’ Khairuddin Aman Razali berkata demikian ketika disoal berkenaan pencapaian serta hala tuju industri perladangan di Sidang Parlimen hari ini.