JASIN, 15 Julai – Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dengan kerjasama UPEN Melaka telah melakukan kajian inokulasi di Ladang Karas, Jasin sejak November 2017.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kajian tersebut telah dilakukan ke atas 100 batang pokok oleh 2 orang penyelidik dengan keseluruhan peruntukan berjumlah RM100,000 dan kos yang dibelanjakan untuk inokulasi pada setiap pokok adalah RM210.

Beliau berkata, berdasarkan kajian yang dibuat, kaedah inokulasi terbaik adalah dengan menggunakan sistem Bamboo Stick dan Dripping berbanding beberapa kaedah inokulasi lain.

“Kedua-dua kaedah tersebut dilihat paling berkesan dan menghasilkan kuantiti Gaharu paling optimum dengan kos yang efektif. Ini dapat dilihat dengan penghasilan Gaharu teras secara purata sebanyak 5kg bagi setiap pokok dengan nilai jualan pasaran RM800/kg.

“Setelah dua tahun MTIB dengan kerjasama UPEN Melaka melakukan kajian inokulasi itu mulai 2017, kini hasil yang komprehensif berkaitan penghasilan Gaharu dan pati minyak Gaharu (PMG) bagi setiap kaedah tersebut. Langkah ini seterusnya akan memanfaatkan penanam-penanam Karas bagi menjalankan proses inokulasi terbaik bagi penghasilan Gaharu,” ujar beliau sewaktu mengadakan lawatan ke Ladang Karas, di Jasin, Melaka pada hari ini.

Menurut beliau, jumlah pengeksport dan pengimport Gaharu yang berdaftar dengan MTIB adalah sebanyak 13 syarikat. 22 syarikat dan individu telah direkodkan sebagai PMG dan lebih 50 syarikat telah dikenal pasti sebagai pengusaha produk Gaharu di seluruh Malaysia.

Beliau berharap perkembangan ini dapat dimanfaatkan oleh para usahawan Gaharu yang aktif di Malaysia dan hasil dari kajian ini dapat menjadi penanda aras serta rujukan bagi MTIB dan Kementerian untuk merangsang pertumbuhan industri Gaharu di Malaysia.