Kuala Lumpur, 16 Julai – Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan pendapatan eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit bagi Januari hingga Mei 2020 adalah sebanyak RM26.56 bilion berbanding RM26.97 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun 2019.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, Data terkini yang dikeluarkan oleh pihak Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan nilai eksport minyak sawit bagi Januari hingga Jun 2020 ialah RM21.17 bilion berbanding RM20.91 bilion bagi Januari hingga Jun 2019. Terdapat peningkatan nilai eksport minyak sawit sebanyak RM259.87 juta.

Beliau berkata, nilai eksport keseluruhan bagi minyak sawit dan produk berasaskan sawit untuk tempoh Januari hingga Jun 2020 adalah RM32.47 bilion berbanding RM31.91 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun 2019. Ini menunjukkan peningkat sebanyak RM556.39 juta.

“Pihak Kementerian menjangkakan pendapatan eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit bagi tahun 2020 ini adalah di antara RM65 bilion hingga RM70 bilion, lebih tinggi daripada nilai eksport keseluruhan minyak sawit dan produk berasaskan sawit pada tahun 2019 iaitu RM64.84 bilion.

“Kementerian optimis sasaran ini boleh dicapai, mengambilkira nilai eksport semasa iaitu bagi tempoh Januari hingga Jun 2020, adalah sebanyak RM32.47 bilion,” ujar beliau sewaktu menjawab soalan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok di sidang parlimen hari ini.

Menurut beliau, sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Kerajaan telah mengambil langkah bijak dengan memberi kelonggaran bersyarat kepada para pemain industri untuk terus kekal beroperasi. Kerajaan juga telah mengambil langkah drastik menggandakan promosi melalui misi-misi ekonomi dan teknikal ke banyak negara khususnya di India dan Timur Tengah di samping meneroka pasaran baharu.