Kuala Lumpur, 16 Julai – Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, menzahirkan rasa kecewa dengan pertanyaan Ahli Parlimen, Teresa Kok yang mengatakan bahawa rakyat tempatan tidak berminat berkerja di ladang berbanding pekerja asing.

Beliau berkata, kenyataan dari Teresa Kok tersebut menggambarkan seolah tidak menyokong kerajaan untuk meramaikan rakyat tempatan untuk berkerja di ladang berbanding pekerja asing.

Menurut beliau, sekarang ini adalah masa kerajaan untuk mengembalikan hak rakyat malaysia untuk berkerja di ladang-ladang.

“Alasan yang kita berikan bahawa mereka tidak berminat untuk bekerja di ladang, ia persoalan subjektif yang memerlukan kempen. Bagi saya sangat optimis dan kita boleh gerakkan perkara ini.

“Tapi kalau Seputeh, sebagai bekas menteri bersikap seperti ini berfikiran negatif terhadap rakyat malaysia sendiri, patutlah industri sawit tidak maju,” ujar beliau sewaktu membalas soalan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok di Sidang Parlimen hari ini.

YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin berkata, disamping membuat kerja untuk promosi di luar negara, Kementerian akan bergerak untuk memperkasakan industri di peringkat pengeluaran.

Beliau berkata, perbincangan yang baik di peringkat MPOA dan persatuan untuk mengandakan lagi rakyat tempatan dan pada masa yang sama mengekalkan tenaga kerja warga asing yang sedia ada tanpa penambahan yang baru. MPOA dan secara khusus pemain industri sawit secara berperingkat memeramaikan warga tempatan di dalam industri sawit.

Sebelum ini, YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin memaklumkan pekerjaan di industri ladang terutamanya sawit dapat menjana pendapatan sebanyak RM 3,000 sebulan.