Kuala Lumpur, 21 Julai – Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menafikan bahawa punca berlakunya pertengkaran atau kemelut politik disebabkan peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri. 

Menurut beliau, ramai ahli parti telah menyalahkan beliau kerana percaya semua pertikaian yang berlaku di dalam kerajaan Pakatan Harapan adalah angkara beliau meletakkan jawatan.

“Sebenarnya PH dijatuhkan oleh Bersatu apabila keluar PH, seluruh anggota PH kehilangan jawatan mereka.

“Saya sebagai anggota kerajaan PH juga kehilangan jawatan,” ujar beliau sewaktu membahaskan Titah diraja pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat, pada hari ini.

Beliau berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu sudah membuat keputusan untuk keluar dari kerajaan PH apabila mereka pembentukan kerjasama bersama UMNO dan Pas di Hotel Sheraton.

“Pelantikan saya sebagai Perdana Menteri Interim adalah daripada budi bicara Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan negara tidak hilang kepimpinan sebelum kerajaan baharu ditubuhkan,” ujar beliau lagi.

Sementara itu, beliau menyifatkan kes lompat parti banyak berlaku di Sabah.

“Saya berpendapat bahawa lompat melompat banyak berlaku di Sabah, entah pasal apa saya tak tahu.

“Tapi ini memang berlaku dahulu. Di peringkat pusat tak pernah berlaku seperti ini. Kita hormati keputusan yang dibuat oleh rakyat,” ujarnya lagi.