PUTRAJAYA, 26 Julai – Bekas Menteri Kewangan Malaysia, Lim Guan Eng telah memberi keterangan lebih lapan jam di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam berkenaan projek terowong dasar laut yang dilaksanakan oleh kerajaan Pulau Pinang.

Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang yang tiba pada jam 10.40 pagi ditemani oleh peguamnya yang juga Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer sebelum keluar kira-kira jam 7 petang.

Namun, beliau enggan menjawab sebarang soalan yang diajukan oleh pihak media.

Kelmarin dan Rabu lalu, Setiausaha Agung DAP itu dipanggil SPRM untuk membantu siasatan kes terowong berkenaan.

Pada 30 Jun lalu, SPRM menahan bekas pegawai tinggi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) bagi membantu siasatan dakwaan elemen rasuah dalam projek tersebut.