KUALA LUMPUR – Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali semalam telah membuat lawatan kerja ke Chocolate Museum di Kota Damansara yang dimiliki DR Group Holdings. 

Beliau berkata, lawatan tersebut adalah perbincangan susulan bagi merealisasikan Muzium Coklat Langkawi oleh syarikat berkenaan sebagai salah satu tarikan pelancongan berasaskan coklat yang tersohor di Asia Tenggara.

Beliau berkata, Ia adalah selari  dengan hasrat Kementerian untuk membangunkan hab coklat di pulau pelancongan itu seterusnya menjadikan Malaysia sebagai King of Chocolate di rantau Asia. 

Menurut beliau sektor koko negara telah mencatat nilai eksport sebanyak RM6.6 bilion pada tahun 2019 dengan sumbangan sektor hiliran kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sebanyak RM1.6 bilion.

Turut direkodkan pendapatan eksport daripada sektor pembuatan coklat adalah sebanyak RM1.14 bilion iaitu 17.3 peratus. Manakala bagi produk-produk koko telah merekodkan peningkatan sebanyak 10.6 peratus pada tahun 2020 berbanding tahun sebelum ini.

Ujar beliau, lawatan tersebut turut berjaya meningkatkan kerjasama antara pihak Kementerian dan industri bagi merancakkan lagi pembangunan sektor koko.