Selayang – Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) hari ini menyumbangkan dua unit ICU Ventilator model Elisa bernilai
RM240,000 dan Kit Ujian (Test-Kit) COVID-19 sebanyak 2,000 set
menjadikan jumlah nilai keseluruhan sumbangan adalah RM334,000.

Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh YB Dato’ Dr Mohd
Khairuddin Aman Razali, Menteri Perusahaan Perladangan dan
Komoditi dengan disaksikan oleh Datuk Mohamad Nageeb Ahmad
Abdul Wahab, Ketua Eksekutif MPOA kepada Pengarah Hospital Selayang, Dr. Sakinah Alwi.

Sumbangan yang diberikan merupakan tanda prihatin serta sokongan KPPK terhadap usaha kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam membendung penularan wabak pendamik COVID-19 yang melanda negara dan seluruh dunia ketika ini.

Sebagaimana yang sedia maklum, MPOA sebelum ini telah menubuhkan Tabung COVID- 19 pada peringkat awal penularan wabak berkenaan dalam usaha untuk menyalurkan sumbangan bagi membantu dan menyokong usaha kerajaan serta KKM daripada sektor perladangan dan industri sawit negara.

Hasil dari penubuham Tabung Covid-19 tersebut, MPOA telah menyalurkan beberapa sumbangan berupa peralatan perubatan seperti Ventilator, Kit Ujian COVID-19, sanitasi tangan, pelitup muka, barangan kesihatan dan beg makanan kepada KPPK selain beberapa buah hospital di bawah KKM seperti Hospital Kuala Lumpur (10 April 2020) dan Hospital Serdang (26 Mac 2020) yang kesemuanya bernilai RM5.16 juta.

Dengan sumbangan berkenaan, KPPK dan MPOA percaya bahawa sumbangan tersebut dapat membantu pihak hospital dalam membendung dan merawat pesakit COVID-19 di negara ini di samping menyokong usaha kerajaan dari masa ke semasa dalam menangani penularan wabak tersebut.