PARLIMEN, KUALA LUMPUR – Dalam usaha kerajaan merealisasikan kerancakan ekonomi negara, Kementerian Perusahaan Perladangan Dan Komoditi (KPPK) turut komited memperkasakan industri getah negara selaras dengan tanggungjawab mempromosi
barangan getah negara di pasaran domestik dan global serta memastikan industri ini terus menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara.

Menurut Menteri KPPK, Dato’ Dr. Khairuddin Aman Razali dalam kenyataan media hari ini, Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC), agensi di bawah KPPK, akan dijenamakan semula sebagai Majlis Getah Malaysia (MRC). Inisiatif ini membawa kepada peranan agensi yang lebih luas dalam pembangunan industri hiliran berasaskan getah, modal insan dan adaptasi teknologi termaju serta promosi pelaburan industri getah negara.

Berkenaan dasar baharu Kerajaan yang mengutamakan pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia serta dalam usaha mengurangkan pekerja asing, MRC akan menubuhkan dana khas berjumlah RM36 juta bagi menggalakkan industri hiliran terutamanya sektor pengeluaran sarung tangan getah untuk mengambil lebih ramai pekerja tempatan.

Mengulas lanjut, Dana berkenaan menyasarkan pengambilan sekurang-
kurangnya 10,000 pekerja tempatan dalam lebih daripada 200 buah
syarikat di sektor industri getah. Dana khas terbabit, akan dibuka kepada syarikat pembuatan berasaskan getah untuk menggiatkan lagi mengupah pekerja tempatan mulai Ogos 2020 sehingga Disember 2021.

Menurut Menteri lagi, kerajaan amat prihatin dengan status ekonomi rakyat dan negara akibat penularan
wabak COVID-19. Sehingga kini, eksport sarung tangan getah berpotensi besar untuk terus berkembang sehingga 25 peratus mengambil kira situasi semasa
COVID-19 yang melanda dunia.

Malaysia yang menguasai 65 peratus
pasaran sarung tangan getah dunia dijangka akan terus kekal sebagai
pengeluar utama berikutan lonjakan permintaan terhadap sarung tangan
getah perubatan.