KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Program Rangsangan Pengeluaran Hasil Koko akan diperkenalkan oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Menurut Menteri KPPK, Dato’ Dr. Khairuddin Aman Razali, KPPK dalam usaha memohon peruntukkan bagi program tersebut. Ini merupakan suatu insentif kerajaan untuk meningkatkan pengeluaran koko dan produktiviti hasil ladang yang diusahakan oleh para pekebun koko.

Menurut Menteri lagi, insentif sebegini dilihat lebih produktif dan efektif dalam memastikan peruntukan kerajaan yang disalurkan dapat diterima oleh golongan sasar sebenar di samping dapat meningkatkan kualiti serta pengeluaran koko negara.

“Semakin banyak pengeluaran, semakin tinggi nilai tambahan insentif yang akan diterima oleh pekebun kecil koko” kata menteri dalam jawapan bertulis bagi menjawab pertanyaan daripada Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya) berkenaan ikhtiar kerajaan dalam membantu pekebun-pekebun kecil komoditi dan subsidi berasaskan ‘output’ dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Sehubungan itu, KPPK juga sedang merancang dan mengkaji kesesuaian insentif berasaskan output itu untuk komoditi lain.

Menurut menteri, usaha dan ikhtiar dalam memastikan kebajikan pekebun kecil agrikomoditi serta menstabilkan harga agrikomoditi sentiasa menjadi keutamaan kementerian.