MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini menetapkan 9 September depan untuk sebutan semula kes bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang didakwa meminta suapan bagi membantu sebuah syarikat dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Hakim Azura Alwi turut memerintahkan pasport antarabangsa dan diplomatik Guan Eng diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM1 juta dengan dua penjamin, dan RM500,000 dibayar hari ini.

Sementara, baki RM500,000 dibayar pada Isnin.

Terdahulu, Guan Eng, 60, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meminta suapan bagi membantu sebuah syarikat dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Mengikut pertuduhan, Lim, semasa menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, didakwa secara rasuah meminta bagi dirinya suatu suapan, iaitu, balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Ia sebagai upah bagi membantu syarikat milik Zarul dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Ahli Parlimen Bagan itu dituduh melakukan kesalahan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di Kuala Lumpur, pada Mac 2011.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wan Shaharuddin Wan Ladin, manakala Guan Eng diwakili peguam Gobind Singh Deo dan Ramkarpal Singh.

Ketika prosiding, Wan Shaharudin mencadangkan ikat jamin RM2 juta dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM pada minggu pertama setiap bulan.

Beliau berkata, jumlah yang ditawarkan adalah munasabah memandangkan kesalahan yang dilakukan serius.

“Ketika kejadian tertuduh memegang jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

“Kesalahan yang dilakukan itu menyebabkan ketidakkepercayaan masyarakat dan perbuatan itu (rasuah) ibarat kanser pada rakyat,” katanya.

Bagaimanapun, Gobind memaklumkan kepada mahkamah jumlah yang ditawarkan pihak pendakwaan terlalu tinggi.

Tambahan pula. Guan Eng memberi memberi kerjasama penuh dalam siasatan, walaupun diminta hadir ke SPRM pada 10 malam.