PEKAN – Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) telah menyampaikan Bantuan Prihatin Kenaf Peringkat Negeri Pahang. Bantuan segera ini untuk membantu meringankan beban yang ditanggung oleh semua lapisan masyarakat yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19 termasuk penanam kenaf.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, bantuan ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) atau PRE-PRIHATIN yang dilaksanakan bagi mengurangkan kesan kepada pekebun kecil termasuk penanam kenaf yang terjejas disebabkan langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.

Beliau berkata, LKTN telah diperuntukan sejumlah RM968,680 di bawah PRE-PRIHATIN untuk diagihkan kepada 1,357 penanam kenaf di seluruh Semenanjung. Daripada jumlah berkenaan, sejumlah RM311,900 telah diperuntukan untuk diagihkan kepada 543 orang penanam kenaf di negeri ini melibatkan kawasan tanaman seluas 623.8 hektar.  Penanam kenaf yang terpilih menerima RM500 bagi setiap hektar tanaman.

Menurut beliau lagi, bantuan ini juga diharap dapat menggalakkan pengeluaran domestik dan seterusnya merangsang kembali penjanaan pendapatan oleh penanam kenaf di negeri ini. Secara tidak langsung, bantuan ini akan dapat menghasilkan impak yang lebih menyeluruh kepada setiap segmen masyarakat. 

Kerajaan melalui KPPK akan meneruskan usaha-usaha untuk memperkasa industri ini dari semasa ke semasa bagi menjamin sosioekonomi serta memberi manfaat kepada rakyat khususnya dan negara amnya.