PAGOH – Kerajaan komited untuk menyediakan insentif kepada pekebun kecil persendirian melaksanakan pensijilan MSPO merangkumi yuran, latihan, penyediaan rak penyimpanan bahan kimia dan peralatan perlindungan diri (PPE).

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, usaha sedang dipergiatkan oleh kementeriannya dan MPOB bagi meningkatkan penyertaan pekebun kecil sawit melalui Kelompok Minyak Sawit Mampan atau Sustainable Palm Oil Cluster (SPOC) di seluruh negara untuk melaksanakan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

“Pelaksanaan Skim Pensijilan MSPO adalah langkah strategik kerajaan bagi meningkatkan daya saing dan memperkukuhkan imej industri sawit negara. Ini adalah selari dengan keutamaan negara-negara pengimport dan pengguna di seluruh dunia yang semakin memberi tumpuan kepada produk pertanian yang dihasilkan melalui pengeluaran mampan dan selamat untuk pemakanan.” ujar beliau sewaktu menyampaikan sijil kepada peserta MSPO pada Program Jom MSPO di Pusat Konvensyen HAB Pendidikan Pagoh.

Antara penerima Sijil tersebut adalah Tok Batin Dagoh a/l Tanda. Beliau yang berumur 66 tahun mewakili 44 pekebun kecil kawasan beliau iaitu Kampung Orang Asli Ulu Juaseh, Labis.

Kerajaan juga peka terhadap keperluan para pekebun kecil khususnya bantuan mengusahakan tanaman sawit. Oleh yang demikian, skim pembiayaan mudah diperkenalkan untuk membantu golongan ini menanam semula menggunakan baka sawit berkualiti dan perolehan bekalan input pertanian, untuk meningkatkan produktiviti dan hasil sawit.