PAGOH, 9 OGOS 2020 – Dalam usaha kerajaan meningkatkan daya saing dan memperkukuhkan imej industri sawit negara, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) memperkenalkan Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia atau Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO).

Menurut Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali usaha ini adalah selari dengan keutamaan negara-negara pengimport dan
pengguna di seluruh dunia yang semakin memberi tumpuan kepada
produk pertanian yang dihasilkan melalui pengeluaran mampan dan
selamat untuk pemakanan.

Tambahan pula, Pengeluaran minyak sawit mampan merupakan keperluan kriteria yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Oleh itu, Skim Pensijilan MSPO akan memastikan industri sawit negara yang lebih mampan dan kompetitif, sekali gus menyumbang peningkatan pendapatan para pengusaha sawit dalam negara.

Menteri menyatakan bahawa kesemua 43 SPOC di Johor telah memiliki persijilan MSPO, melibatkan seramai 19,202 pekebun kecil dengan keluasan tanaman sawit seluas 49,629.37 hektar. Walaubagaimanapun, keluasan kawasan tanaman sawit yang
diusahakan oleh pekebun kecil yang mendapat pensijilan MSPO masih
rendah iaitu hanya 23.03 peratus daripada keseluruhan 215,535 hektar
tanaman sawit.

“Kementerian melalui MPOB akan terus melipat gandakan usaha memberi penerangan kepada pekebun kecil dan terus menangani segala cabaran dalam memastikan mereka mendapatkan sijil MSPO” kata menteri.

Sehingga 4 Ogos 2020, kementerian melalui MPOCC dan MPOB telah berjaya memperakui kawasan tanaman sawit seluas 5.03 juta hektar atau 85.26 peratus daripada 5.9 juta hektar tanaman sawit di seluruh negara. Manakala, 405 buah kilang kelapa sawit telah mendapat pensijilan MSPO atau 89.60 peratus daripada keseluruhan 452 buah kilang kelapa sawit di Malaysia diperakui MSPO.

Menurut menteri lagi, kerajaan telah menyediakan insentif kepada pekebun kecil persendirian melaksanakan pensijilan MSPO merangkumi yuran, latihan, penyediaan rak penyimpanan bahan kimia dan peralatan perlindungan diri (PPE).

Bagi pekebun kecil persendirian, kesemua 162 SPOC di seluruh negara telah mendapat pensijilan MSPO membabitkan 63,480 pekebun kecil persendirian dengan keluasan 237,876 hektar (24.12 peratus).

Sementara pekebun kecil tersusun di bawah kelolaan agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri, seramai 231,576 orang dengan keluasan 679,075 hektar (99.64 peratus)
telah memperoleh pensijilan itu.

“Saya cukup yakin bahawa penglibatan semua pihak dalam
melaksanakan pensijilan MSPO dan memanfaatkan bantuan yang
disediakan oleh kerajaan, akan memberi manfaat dari segi pulangan
hasil dan pendapatan yang lumayan” kata menteri dalam ucapan beliau dalam Program Jom MSPO di Pagoh, Muar, Johor pada petang ini.