PEKAN, 8 Ogos 2020 -Tanaman kenaf berpotensi besar untuk diperkasakan pada masa hadapan ekoran permintaan semakin meluas terhadap produk dihasilkan daripada tanaman itu yang disifatkan lebih mesra alam.

Ekoran dari itu, kerajaan prihatin terhadap pengusaha-pengusaha yang komited untuk mengendalikan industri kenaf tersebut.

Sehubungan dengan itu, kerajaan telah mengambil inisiatif untuk memperluas industri kenaf dengan memberikan bantuan Prihatin kepada pekebun-pekebun kecil yang mengusahakan industri kenaf di Kampung Merchong, Pekan, Pahang.

Bantuan Prihatin yang bernilai sebanyak RM 311,900.00 tersebut telah diserahkan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) Dato’ Dr Mohd Khairuddin.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi), Mad Zaidi Mohd Karli, Ahli Dewan Negeri (ADN) Muadzam Shah, YB Tuan Ir. Razali Kassim dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Operasi) Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara, Tuan Hj Idris Mohd Salleh.

Seramai 543 orang penanam Kenaf menerima bantuan input pertanian melalui pemberian baucar bernilai RM500 bagi setiap hektar tanaman. Sebanyak RM311, 900 telah diperuntukkan bagi kawasan tanaman seluas 623.8 hektar.

Beliau juga turut ditemu ramah oleh sidang media berkenaan usaha mempopularkan kenaf, kewujudan koperasi, waktu penuaian dan hasil-hasil kenaf serta bantuan dan sokongan kepada peladang dan pengusaha kenaf serta isu-isu lain berkaitan kenaf.

Sementara itu, Dato’ Dr Mohd Khairuddin berkata, dalam memelihara nasib golongan pekebun kecil termasuk penanam Kenaf sentiasa terbela, selain bantuan PRE-PERIHATIN pelbagai inisiatif diusahakan seperti penyediaan fasiliti penuaian dan pemprosesan Kenaf yang ditempatkan di kebanyakan negeri termasuk Pahang.