KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuka kertas siasatan terhadap pegawai dan anggota penguat kuasa yang didakwa menerima suapan bagi melindungi premis perniagaan haram di Sungai Buloh.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Bahagian Operasi, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya memaklumkan bahawa pihaknya mengambil serius berhubung video tular berkaitan isu rasuah penguat kuasa melindungi gerai haram, penjualan rokok seludup dan judi.

Ahmad Khusairi berkata, beliau sudah menghubungi Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPs) , Datuk Zamri Yahya untuk bekerjasama dengan SPRM.

“Kami memandang serius berhubung isu yang ditularkan dalam dua klip video yang mendakwa pihak berkuasa gagal dalam memantau dan menguatkuasakan undang-undang selain dikatakan menerima rasuah daripada pihak terbabit.

“Saya sudah hubungi Datuk Zamri, Pengarah JIPs pada pagi ini dan beliau memaklumkan pihak JIPs akan mengambil tindakan tegas ke atas premis perjudian termasuk pegawai yang melindungi aktiviti perjudian itu kerana kesalahan ini di bawah bidang kuasa PDRM.

“JIPs menyatakan komitmen akan bekerjasama menyalurkan maklumat kepada SPRM jika ada pegawai serta anggota polis terbabit dikenal pasti,” katanya hari ini.

Ahmad Khusairi berkata, SPRM akan memberikan tumpuan kepada pegawai serta anggota penguat kuasa atas kesalahan menerima rasuah bagi melindungi premis perniagaan haram di sekitar Sungai Buloh.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak menghebahkan sesuatu isu di dalam media sosial kerana ia tidak akan membantu proses siasatan.

“Ia tidak akan membantu sebarang proses siasatan malahan memberi peluang kepada pihak-pihak terbabit menghapuskan bukti serta keterangan yang ada.

” Sebaliknya, masyarakat diminta untuk menyalurkan terus maklumat kepada SPRM, ” katanya

Terdahulu dua video yang diambil seorang lelaki yang bernama Asri Janggut tular di media sosial apabila mendedahkan mengenai kewujudan pusat judi haram secara dalam talian serta kedai runcit menjual rokok seludup.

Perkara itu bagaimanapun dinafikan oleh Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supritendan Shafa’atun Abu Bakar yang mengatakan premis yang didakwa tidak wujud malah Majlis Bandaran Shah Alam turut memberi penafian.

Namun, netizen yang mendakwa penduduk setempat menyokong dakwaan Asri Janggut dengan mengatakan premis terbabit wujud dan dikosongkan setelah isu berkenaan tular.