BUTTERWORTH, Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, isteri Betty Chew Gek Cheng dan ahli perniagaan Phang Li Koon telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram di sini hari ini.

Lim, 60, Chew, 56, dan  Phang, 48, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Hakim itu membenarkan pasangan suami isteri itu dan Phang, masing-masing diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Okt untuk sebutan semula kes.

Mahkamah di sini mencuri tumpuan ramai apabila Ahli Parlimen Bagan itu dibawa sekali lagi ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan rasuah.

Prosiding dimulakan dengan pertuduhan terhadap Lim dibacakan, dan beliau berkata “tidak bersalah”.

Mengikut pertuduhan, Lim didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi  Lembaga Tawaran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), telah menggunakan kedudukan untuk suapan, iaitu wang berjumlah RM372,009 bagi isterinya Chew melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.

Lim dituduh melakukan kesalahan itu dengan cara mengambil tindakan memastikan syarikat Magnificent Emblem Sdn  Bhd  ditawarkan Jemputan Cadangan Perkampungan Pekerja di Lot 631, Mukim 13, Juru, Seberang Perai Tengah dan Sebahagian Lot  282, Mukim 13, Batu Kawan, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang bernilai RM11,610,000 yang Chew secara tidak langsung  mempunyai kepentingan.

Ahli Parlimen Bagan itu dituduh melakukan kesalahan tersebut antara 19 Ogos 2013 dan 3 Mac 2016, di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, di George Town, Pulau Pinang.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009  (SPRM) yang boleh  dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan  denda  tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika  sabit kesalahan.

Phang pula didakwa telah bersubahat dalam pelakuan kesalahan oleh Lim dalam melakukan perbuatan itu di tempat dan tarikh sama dan boleh dihukum di bawah seksyen dan hukuman sama.

Sementara itu Chew dituduh atas tiga pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram  dengan menerima wang berjumlah RM372,009 daripada sebuah syarikat ke akaun bank miliknya.