KUALA LUMPUR – Isu Tabung Haji (TH) kembali menghangatkan Dewan Rakyat hari ini apabila pertikaian mengenai pengurusan badan berkanun itu diperdebatkan hingga ke sesi petang.

Pada sesi pagi, pertikaman lidah bermula apabila Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2019) 2020, bacaan kali kedua.

Beliau telah membandingkan TH dengan skim Pak Man Telo mengundang kemarahan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang merupakan bekas Pengerusi TH.

Kedua-dua mereka membentangkan fakta mengenai TH ketika era pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sehingga memaksa Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menghentikannya.

Pada sesi petang pula, pertikaman lidah kembali tercetus mengenai isu TH selepas Ahli Parlimen Parit Buntar dari Pafrti Amanah Negara, Datuk Seri Mujahid Yusof membangkitkan RUU yang sama.

Abdul Azeez merasakan dirinya tercuit dengan perbahasan Mujahid apabila beliau menyatakan Bank Negara Malaysia (BNM) mengemukakan pencerahan dalam surat bertarikh 26 Januari 2016 bahawa kedudukan kewangan TH mula berada dalam keadaan selamat.

Bagaimanapun Mujahid menjelaskan bahawa isu yang dibangkitkan ialah mengenai teguran dalam laporan Jabatan Audit Negara 2017.

Justeru surat BNM pada Januari 2016 mengenai kedudukan kewangan TH ketika itu tidak relevan, katanya.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar bingkas mencelah dengan menyatakan sudah jemu mendengar polemik berkaitan TH sebagaimana yang dibawakan oleh Mujahid.

Beliau kemudian mencadangkan agar isu mengenai agensi itu diperhalusi selepas Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan dan membentangkan hasil penelitiannya.

Mujahid bagaimanapun tidak bersetuju dengan perkara itu sambil berkata, isu berkenaan harus diketengahkan kerana ingin mengetahui sama ada komitmen kerajaan terhadap usaha pemulihan TH menerusi Kementerian Kewangan akan diteruskan atau sebaliknya.

Disebabkan isu itu menggamatkan keadaan, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan, perbahasan dengan menjurus kepada ‘elemen mendalam’ berkaitan TH bakal mengundang maklum balas dan provokasi daripada Ahli Parlimen yang disebut namanya.

Keengganan Mujahid mengalih topik perbahasan akhirnya mengundang percakaran berterusan hingga akhirnya masa yang diberikan oleh Azalina habis begitu sahaja dengan kedengaran pekikan dan laungan dari beberapa Ahli Parlimen.