KUALA TERENGGANU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Terengganu sedang menyiasat mengenai satu dakwaan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini yang terbabit dengan rasuah RM500,000 bagi kelulusan projek pasir.

Pengarah SPRM Terengganu, Ruslan Che Amad berkata, kes berkenaan sudah berada dalam pengetahuan SPRM sebelum ia ditularkan lagi dan pihaknya sedang mengumpul maklumat.

“Isu ini dalam pengetahuan SPRM sebelum ini dan kita harap tiada pihak yang menyebarkan sebarang maklumat di media sosial kerana tindakan sedemikian sedikit sebanyak mengganggu siasatan.

“Jika ada pihak mempunyai bukti yang dapat membantu siasatan, boleh tampil ke SPRM kerana kita (SPRM) tidak mengambil tindakan dengan apa yang tular sebaliknya mengumpul bukti yang kukuh sebelum sebarang tindakan diambil,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebelum ini, tular dalam media sosial dakwaan berkaitan pembabitan seorang ADUN di Terengganu dengan kes rasuah.