KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan, memberitahu terdapat salinan surat yang menunjukkan campur tangan Tun Dr Mahathir Mohamad, Lim Guan Eng dan bekas peguam negara yang mengarahkan pembatalan pembekuan aset taikun hartanah, Tan Sri Lim Soon Peng berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perkara itu didedahkan Takiyuddin ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja di Dewan Rakyat semalam.

Takiyuddin mendedahkan beberapa salinan surat membabitkan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas menteri kewangan, Guan Eng dan bekas peguam negara, Tan Sri Tommy Thomas kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2018 dan tahun lalu.

“Saya nak sebut satu kes, Tan Sri Lim Soon Peng, dia terbabit dalam penggubahan wang haram daripada 1MDB sebanyak RM4 juta tetapi apabila dia dihadapkan oleh SPRM, beliau meminta peguamnya membuat surat representasi kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 20 Oktober 2018 semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

“Apa yang berlaku, surat daripada peguam ini diminitkan oleh Perdana Menteri ketujuh (Tun Dr Mahathir Mohamad) pada masa itu. Minit itu berbunyi, ‘saya berpendapat, penyelewengan oleh mantan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) tidak boleh disalahkan (kepada) Tan Sri Lim (Soon Peng).

“Oleh itu pembekuan akuan peribadinya atau syarikatnya tidak boleh dikekalkan’. Ditandatangani, 5 Disember 2018, siap dengan cop perdana menteri,” katanya.

Beliau berkata, surat itu kemudiannya diminitkan sekali lagi oleh Guan Eng bertarikh 19 Februari 2019 yang meminta supaya SPRM segera menarik semula arahan pembekuan terbabit seperti yang diminta oleh perdana menteri.

Susulan daripada surat itu, katanya, Tommy kemudian membalas surat kepada Guan Eng bertarikh 31 Mei 2019 memaklumkan mengenai status pembekuan akaun ahli perniagaan terbabit dan arahan beliau kepada SPRM.

“Tak pernah berlaku dalam sejarah malah saya percaya surat representasi Yang Berhormat Sepang (Mohamed Hanipa Maidin) tidak pernah diminitkan sebegini,” katanya.

Pendedahan itu menyebabkan beberapa Ahli Parlimen pembangkang termasuk Mohamed Hanipa (AMANAH-Sepang) dan Kasthuriraani Patto (DAP-Batu Kawan) mempertikaikan perkara itu.