KUALA LUMPUR: Pihak Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) Dato’ Dr Mohd Khairudin Aman Razali menyerahkan sepenuhnya kes SOP kuarantin kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sumber dalaman berkata, pemergian Dr Khairudin ke Turki pada bulan lalu adalah atas urusan kerja sebagai menteri.

Namun dalam masa yang sama kata sumber itu, Menteri juga akur dengan SOP yang ditetapkan kementerian ketika itu antaranya ujian covid sebaik tiba dari Turki dan disahkan negatif setelah menjalani ujian.

Menurut sumber juga sehingga kini Dr Khairudin telah menjalani 3 kali’ swab test’.

Kesemua ujian terbabit kata sumber itu lagi dilaporkan negatif termasuk yang terakhir adalah sebelum menghadiri program di Istana Negara pada pertengahan Ogos.

Terdahulu Pengarah Kesihatan Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya sedang menyiasat dakwaan Menteri KPPK dalam isu perintah kuarantin selepas pulang dari luar negara.

Bagaimana pun katanya menteri itu melalui ujian saringan Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik tiba dari Turki bulan lalu.