KUALA LUMPUR, 27 Ogos –  Kementerian Kewangan (MoF) hari ini mengeluarkan senarai  kementerian dan jabatan yang mendapat kelulusan perolehan kerajaan secara rundingan terus (RT) semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang melibatkan 101 projek bernilai RM6.61 billion.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam satu kenyataan hari ini berkata senarai tersebut didedahkan atas dasar mendokong urus tadbir yang baik demi ketelusan pentadbiran.

Menurut kenyataan itu, Kementerian Pengangkutan memperoleh kelulusan perolehan kerajaan secara RT yang tertinggi dengan nilai RM4.47 bilion melibatkan empat projek, diikuti Kementerian Pertahanan RM900 juta (6 projek), Kementerian Dalam Negeri RM517 juta (8 projek), Kementerian Komunikasi dan Multimedia RM380 juta (12 projek), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan RM170 juta (2 projek) dan Kementerian Pendidikan RM87.49 juta (7 projek).

Kementerian Kesihatan pula sebanyak RM10.87 juta melibatkan empat projek,  Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri RM10.36 juta (9 projek), Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim RM8.46 juta (7 projek), Kementerian Kewangan RM9.03 juta (4 projek), Jabatan Perdana Menteri RM8.18 juta (5 projek), Kementerian Pembangunan Luar Bandar RM7.36 juta (2 projek) dan Kementerian Belia dan Sukan RM6.45 juta (1 projek).

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sebanyak RM6.15 juta (8 projek), Kementerian Air, Tanah Dan Sumber Asli RM5.67 juta (13 projek), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga aan Masyarakat RM1.18 juta (1 projek), Kementerian Hal Ehwal Ekonomi RM1.17 juta (4 projek), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya RM0.57 juta (2 projek), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna RM0.16 juta (1 projek) dan Kementerian Wilayah Persekutuan RM0.096 juta (1 projek).

Tengku Zafrul berkata RT dibenarkan atas dasar proses perolehan yang memenuhi salah satu atau lebih daripada syarat-syarat berikut:

a. Perolehan bekalan dan perkhidmatan melibatkan keperluan mendesak yang mana jika perolehan tersebut tidak dilaksanakan dengan segera, ia boleh memudaratkan dan menjejaskan perkhidmatan serta kepentingan negara;

b. Keperluan penyeragaman bagi memastikan kesesuaian penggunaan antara barangan sedia ada dengan barangan baharu yang diperoleh;

c. Satu punca bekalan atau perkhidmatan iaitu pengeluaran produk atau penyediaan perkhidmatan hanya boleh dibekalkan daripada satu sumber sahaja;

d. Keselamatan/ strategik yang melibatkan perolehan item atau perkhidmatan demi keselamatan atau kepentingan strategik negara; atau

e. Kontrak dengan syarikat pembuat Bumiputera yang memenuhi semua syarat kelayakan.