KUALA LUMPUR, 26 Ogos  — Polis hari ini mengambil keterangan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berhubung kegagalan mematuhi kuarantin wajib di rumah setelah pulang dari Turki, pada Julai lepas.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, DCP Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi berkata proses mengambil keterangan itu dibuat di bangunan Parlimen oleh anggota Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman. 

“Proses mengambil keterangan tidak dibuat di Bukit Aman tetapi di Parlimen,” katanya tanpa mendedahkan masa pihak polis mengambil keterangan daripada Ahli Parlimen Kuala Nerus itu.

Hari ini, lebih 50 pengamal media berada di luar Bukit Aman selepas beberapa media melaporkan bahawa Mohd Khairuddin akan hadir memberi keterangan kepada polis, dan semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata isu mengenai Mohd Khairuddin telah diserahkan kepada polis untuk disiasat. 

Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum ini memberitahu Mohd Khairuddin dikenakan kompaun RM1,000 pada 7 Ogos lepas, atas kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador pula dilapor mengesahkan pihaknya telah membuka kertas siasatan terhadap Mohd Khairuddin yang gagal mematuhi kuarantin wajib di rumah setelah pulang dari Turki pada 7 Julai lepas.

— BERNAMA