CUCU individu kenamaan (VVIP) yang melakukan kesalahan melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKP) dengan berada di sebuah pub di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, melebihi masa ditetapkan pada 22 Ogos lalu, sudah diambil tindakan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya tidak mengamalkan pilih kasih dan tidak sesekali berkompromi terhadap mana-mana individu termasuk cucu VVIP berkenaan.

“Individu terbabit sudah dikenakan tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang ditetapkan.

“Ini termasuk tindakan kompaun RM1,000 setiap seorang dikenakan terhadap 29 pengunjung premis itu berusia antara 21 hingga 48 tahun.

“Ia selaras dengan Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan)(No 7) 2020,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kelmarin, dilaporkan 29 pengunjung di pub berkenaan dikenakan tindakan kompaun selepas didapati berada di premis berkenaan ketika serbuan dilakukan pada 1.20 pagi.

Dalam serbuan itu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang dipercayai pengurus premis bersama seorang lelaki warga Bangladesh serta tiga wanita warga Filipina berusia antara 33 hingga 52 tahun disyaki pekerja pub berkenaan.

Mazlan berkata, pihaknya turut membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 bagi kesalahan pemilik premis menggaji warganegara asing dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Seksyen 76 Akta Eksais 1976.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana–mana balai polis berhampiran,” katanya.

Terdahulu, satu status tular di media sosial, hari ini, mendakwa cucu VVIP berkenaan melanggar arahan PKPP, namun terlepas daripada tindakan pihak polis.