28 OGOS: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi menyediakan pelbagai insentif dan dana kepada sektor agrikomoditi yang boleh dimanfaatkan oleh peladang dan pekebun kecil di Melaka, terutamanya golongan B40.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, antaranya melalui KPSM, Program Tanaman Kontan B40 Pekebun Kecil Sawit (TKB40), Skim Pembiayaan Mudah Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS), IPG dan Insentif Tanaman Kenaf Bagi Pengeluaran Batang dan Insentif Belian Batang Kenaf.

“Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berharap kerjasama erat dicapai bersama kerajaan negeri Melaka untuk membantu menghebahkan bantuan yang disediakan oleh kerajaan Pusat kepada pekebun kecil di Melaka.

“Dana dan insentif yang diberikan diharap dapat membantu meringankan beban pekebun kecil dan pada masa yang sama meningkatkan pendapatan mereka,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau mengulas tentang kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam di Ayer Keroh, semalam.

Mohd Khairuddin menambah, Melaka merupakan negeri pertama di Malaysia yang melaksanakan projek rintis aplikasi telefon pintar RRIMniaga mulai Jun 2018 dengan melibatkan tiga pelesen.