KOTA TINGGI – Seekor anak gajah berusia dua tahun ditemui mati selepas terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Batu 10, Jalan Kota Tinggi-Mersing di sini pagi semalam.

Kenderaan yang melanggar anak gajah

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Salman Saaban berkata, gajah berkenaan dianggarkan berusia satu hingga dua tahun dengan anggaran berat 300 kilogram (kg).

Jelasnya, pihaknya menerima aduan berkenaan kejadian itu pada pukul 7.45 pagi tadi.

“Satu pasukan anggota telah digerakkan ke lokasi kejadian. Hasil siasatan lanjut di lokasi mendapati terdapat bangkai seekor anak gajah jantan ukuran saiz tapak kaki hadapan kira-kira 8 inci telah ditemui ditepi jalan.

“Siasatan mendapati, dalam kejadian yang berlaku awal pagi tadi, sebuah kenderaan jenis Proton Persona yang dipandu oleh seorang lelaki dari arah Kota Tinggi ke Mersing telah melanggar gajah tersebut.

“Pemantauan di tempat kejadian juga mendapati terdapat dua, tiga ekor gajah daripada kumpulan gajah Panti masih berada di sekitar kawasan tersebut,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Salman berkata, bangkai gajah tersebut akan ditanam selepas ukiran morfologinya direkodkan.