Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki menafikan dakwaan Lim Guan Eng yang berkata beliau dihalang agensi tersebut  dari memasuki Sabah.

Sinar Harian memetik beliau berkata mungkin berlaku kekhilafan ketika Guan Eng tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu, semalam sehingga menyebabkan Setiausaha Agung DAP tersebut ditahan kira-kira setengah jam.

“Itu mungkin berlaku sedikit kekhilafan kerana SPRM hanya membuat permohonan untuk menyekat Lim dari ke luar negara sahaja.

“Mungkin ada kekeliruan sedikit yang timbul di situ tapi saya tegaskan di sini, SPRM tidak pernah menyekat beliau untuk masuk ke Sabah,”

Terdahulu, bekas menteri kewangan itu dalam satu hantaran di facebooknya berkata beliau ditahan dari memasuki Sabah selama setengah jam.

Lim Guan Eng ke negeri bawah bayu itu untuk berkempen menjelang pilihanraya negeri yang akan berlangsung pada  26 September ini.