PRESIDEN Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah Ahli Parlimen pertama yang menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Perkara itu didedahkan Muhyiddin dalam ucapannya pada Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran Perikatan Nasional (PN) hari ini.

MUHYIDDIN berbual dengan Presiden Persatuan Wartawan Melayu Malaysia, Datuk Yazid Othman selepas selesai Majlis Penutupan Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran Perikatan Nasional di Universiti Malaya. FOTO Fathil Asri

Beliau berkata, tindakan Abdul Hadi itu disusuli rakan daripada parti dalam gabungan PN yang lain semasa majlis menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Februari lalu.

“Mereka telah dijemput oleh Al-Sultan Abdullah ke istana (Istana Negara) untuk tandatangan SD dan saya nak bagi tahu SD pertama yang dibuat adalah daripada Haji (Abdul) Hadi sendiri.

“Orang lain belum buat (SD) dia dah buat dulu. Letak nama saya dalam kertas SD pertama,” katanya.

Al-Sultan Abdullah pada Februari lalu memanggil menghadap kesemua Ahli Parlimen bagi mengenal pasti seorang Ahli Parlimen yang mendapat sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Saya sendiri pun tidak menjangka akan menjadi Perdana Menteri. Tidak ada komplot, tidak ada satu skema (rancangan) politik luar biasa untuk mengambil alih atau menjatuhkan seseorang tetapi kerana berlakunya krisis politik yang agak rumit pada ketika itu yang kita semua tahu,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, walaupun kerajaan PN tidak mempunyai manifesto khusus, tidak bermakna rakyat tidak boleh menilai pencapaian PN.

“Ini tidak bermakna bahawa saya boleh melakukan sewenang-wenangnya. Tiada manifesto bukan bermakna tiada kebertanggungjawaban atau akauntabiliti kepada rakyat. Akauntabiliti sebagai pemimpin tetap ada,” katanya.