SEBERANG TAKIR, 3 September – YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mendengar keluhan seorang penduduk Kampung Telaga Batin, Norisham Ngah, 35 yang mengalami kemalangan sejak dua bulan yang lalu.

Rentetan dari kemalangan tersebut telah menyebabkan kesihatan beliau terganggu dan mendesak isterinya bekerja mengambil upah memotong bawang di sebuah kedai untuk menyara 2 orang anak yang masih bersekolah.

Keluhan bapa 2 orang anak tersebut mendapat perhatian Menteri menerusi Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuala Nerus, Ustaz Wan Yusrizal Wan Shafi’i untuk menyampaikan sumbangan kepada keluarga beliau di sini, pagi tadi.

Penyelia i-MITS Dun Seberang Takir, Ustaz Muda Abdullah bersama Pengerusi MPKK Hulu Takir, Ahmad Sirajul Fahmi Ramli turut hadir sama mendengar permasalahan yang berlaku dan tidak putus memberikan kata semangat untuk beliau meneruskan kehidupan.

Beliau yang juga seorang penjual ayam di Kampung Padang Air sempat berkongsi pengalaman sewaktu kemalangan berlaku dan memohon doa supaya kesnya dapat diselesaikan dengan baik.

Turut hadir, Ahmad Badarul Hisyam Muhamad, Pembantu Penyelia Hal Ehwal Masyarakat Dun Seberang Takir dan En. Azmi Mokhtar, Pegawai Penyelia Parlimen Dun Seberang Takir yang bersama-sama menziarahi beberapa rumah yang lain.