PAS Johor ingin respon kepada isu 4.2 juta penduduk negara ini yang berusia 21 tahun ke atas masih belum mendaftar sebagai pemilih Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) seperti mana dinyatakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri YB Datuk Shabudin Yahaya dalam persidangan Dewan Negara kelmarin.

PAS Johor merasakan bahawa urusan pendaftaran pemilih ini bukan tanggung jawab SPR semata. Semua pihak, baik parti-parti politik, badan-badan bukan kerajaan (NGO) mahu pun orang perseorangan perlu tampil dan mengambil tanggung jawab dengan inisiatif tertentu untuk menyedarkan mereka, dan seterusnya mendaftarkan mereka sebagai pemilih.

Kini, PAS Johor melalui Jabatan Pilihanrayanya telah membentuk satu pasukan petugas yang dikenali sebagai Penolong Pendaftar Pemilih (PPP) lantikan SPR untuk tujuan tersebut. Moga-moga usaha PAS Johor ini akan memudahkan rakyat Malaysia di mana sahaja mereka berada untuk mendaftar sebagai pemilih yang akan melayakkan mereka mengundi dalam pilihanraya, dan seterusnya mempunyai hak untuk menentukan halatuju dan masa depan negara.

Selain daripada itu, rakyat Malaysia juga boleh mendaftar sebagai pemilih di mana-mana pejabat SPR, Pejabat POS, melalui PPP yang dilantik SPR atau secara atas talian

https://mysprdaftar.spr.gov.my

“ISLAM MEMIMPIN PERPADUAN”

USTAZ ABDULAH BIN HUSIN
Pesuruhjaya PAS Johor
22 Muharam 1442H | 10 September 2020