MARANG: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairudin Aman Razali sanggup mengorbankan diri menghadapi bahaya Covid-19 hingga berjaya meningkatkan harga sawit hari ini.

Namun hingga kini DAP sengaja memainkan isu dengan mendesak agar Dr Mohd Khairuddin meletak jawatannya atas isu SOP (Prosedur Operasi Standard), kata Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Kata Tuan Guru Abdul Hadi, DAP sengaja mencari isu dan bukannya menyelesaikan masalah rakyat.
Sebenarnya, kata Ahli Parlimen Marang itu tindakan Menteri berkenaan telah melalui SOP tetapi sengaja dicetuskan isu oleh DAP.

“Menteri PAS itu sanggup mengorbankan diri menghadapi bahaya Covid-19 hingga berjaya meningkatkan harga sawit hari ini,” katanya.

“DAP selalu mencari isu-isu dan bukannya menyelesaikan masalah rakyat. Apa yang penting ialah, Menteri kita (PAS) dapat menjalankan usaha sehingga berjaya menaikan harga (kelapa) sawit,” kata beliau kepada pemberita hari ini.

“Harga naik dengan mencari pasaran di luar negara, sanggup mengorbankan diri. Mengorbankan diri menghadapi bahaya.

“Sebenarnya, melalui SOP tetapi sengaja dicetuskan oleh DAP. Pihak polis sudah menyiasat dan kita tunggu (keputusan) siasatan polis,” jelasnya.

Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menjadi sasaran kritikan DAP setelah pulang dari Turki.

Bagaimana, Ahli Parlimen Kuala Nerus itu telah pun memohon maaf, membayar kompaun RM1,000 pada 7 Ogos lalu, serta beliau memulangkan semua gajinya sebagai Menteri bagi Mei hingga Ogos 2020 kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung COVID-19).