KUALA TERENGGANU, 12 Sept — Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mencadangkan agar pembinaan rumah melalui peruntukan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di kesemua 222 kawasan Parlimen negara ini menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) berasaskan kenaf.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata ia boleh dilaksanakan pada masa akan datang kerana teknologi IBS kenaf terbukti lebih sistematik, tahan haba, lebih tahan lasak, menjimatkan masa dan kos pembinaan serta ia lebih mesra alam.

“Kementerian akan mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin agar sebahagian peruntukan ICU ini dapat digunakan untuk membina rumah rakyat di setiap kawasan Parlimen dengan teknologi IBS kenaf.

“Ini dapat merancakkan lagi industri hiliran dan huluan berasaskan kenaf yang secara tidak langsung memberi manfaat kepada golongan sasar seperti penanam kenaf, kontraktor serta pemain industri pembinaan dalam negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kursus pengenalan keusahawanan teknologi  IBS kenaf peringkat negeri Terengganu di sini, hari ini.

Kursus sehari anjuran Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) itu adalah platform kepada penggiat industri untuk mempromosi dan menarik lebih banyak pihak untuk beralih kepada  penggunaan teknologi IBS berasaskan kenaf bukan sahaja di negeri ini malah diperluas ke negeri-negeri lain.  

Kursus yang dihadiri 40 peserta terdiri daripada kontraktor dan penyedia perkhidmatan pembinaan itu turut mendapat kerjasama sepenuhnya daripada pihak swasta iaitu syarikat Affordable Abodes Sdn Bhd dan Kenaf Tech Master Resources yang berpengalaman luas dalam mengkomersialkan IBS kenaf bagi industri pembinaan di Malaysia. 

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata melalui peruntukan ICU tersebut, setiap Parlimen menerima RM1 juta untuk membina 20 rumah rakyat dengan kos RM50,000 setiap satu.

“Kami sedang mengusahakan untuk membina tiga unit rumah menggunakan teknologi IBS kenaf di Parlimen Kuala Nerus dan berharap langkah ini akan diikuti oleh pihak lain,” katanya.

Ditanya sama ada bekalan kenaf dalam negara mencukupi sekiranya cadangan itu dipersetujui, beliau berkata kementerian akan memastikan bekalan sentiasa mencukupi seiring permintaan pasaran.

“Apabila teknologi IBS kenaf ini semakin diperluas, tentu harga kenaf akan semakin tinggi dan ini akan menarik minat lebih banyak pihak untuk mengusahakan tanaman ini bagi tujuan komersial. 

 “Kementerian melalui LKTN juga sentiasa menambah baik program-program pembangunan yang melibatkan aktiviti pengembangan serta fasiliti berkaitan supaya pembangunan industri kenaf dapat dilaksanakan dengan lebih komprehensif,” katanya.

— BERNAMA