1. Saya mewakili DHPP untuk membahaskan ucapan Dasar Presiden PAS di dalam Muktamar ini. DHPP menyokong penuh ucapan yang telah disampaikan oleh TG Presiden PAS pada pagi tadi.
  2. Jika tahun lalu TGHH menjelaskan konsep ISLAM MEMIMPIN PERPADUAN tahun ini tema ISLAM MEMPERKUKUHKAN PERPADUAN dikemukakan untuk membuktikan PAS terus konsisten dalam agenda perjuangan untuk memperkukuhkan agenda perpaduan di dalam Malaysia.
  3. DHPP menyedari bahawa peranan yang telah diberikan untuk menyantuni masyarakat bukan Islam di Malaysia bagi mewakili PAS, sebuah parti yang membawa dasar perjuangan Islam. Walaupun tidak semudah yang disangkakan namun kami tetap berusaha untuk memahami Islam melalui kelas pendidikan Islam seperti ILHAM, kuliah dan Usrah yang dijalankan.
  4. Penjenamaan baharu DHPP sebagai PENDUKUNG pada hari ini memberikan bukti dan komitmen kami untuk terus menjadi satu sayap penting dalam PAS.
  5. Perlantikan Ketua DHPP Pusat YB Senator N. Bala Subramaniam sebagai Ahli Dewan Negara adalah merupakan satu pengiktirafan yang sangat tinggi kepada DHPP yang telah wujud sejak tahun 2010. Ketua DHPP Pusat telah memberikan ucapan pertama di dalam Dewan Negara baru-baru ini menegaskan bahawa beliau dan DHPP akan memberikan fokus terhadap perpaduan kaum yang selari dengan Ucapan Dasar yang telah kita dengar pada hari ini.
  6. Dalam masa yang sama, sebagai rakyat Malaysia kita menyedari bahawa negara kita adalah sebuah negara majmuk yang mengamalkan kebebasan beragama kepada semua penduduk Malaysia dengan Agama Islam sebagai agama rasmi.
  7. Oleh kerana itu, kita perlu menanamkan sikap hormat-menghormati semasa kita. Bukan sahaja itu, malah ahli-ahli PAS perlu lebih kehadapan untuk menunjukkan sikap kasih-sayang terhadap mereka yang bukan muslim ini.
  8. Elakkan daripada mengkritik agama lain secara terbuka kerana ia boleh membawa kepada ketegangan kaum. DHPP menyarankan agar supaya tidak menggunakan perkataan ‘kafir’ tetapi ‘bukan Islam’. Lajnah Dakwah dan Lajnah Perpaduan Nasional perlu kehadapan dalam memberikan perhatian terhadap perkara ini.
  9. Bagi memastikan hasrat dan harapan Presiden PAS seperti mana yang telah disebut di dalam ucapan dasar, saya menggesa supaya PAS di semua peringkat dapat memastikan DHPP bukan sahaja dapat diwujudkan di peringkat negeri malah ia mestilah wujud di peringkat kawasan.
  10. DHPP ingin mengucapkan terima kasih kepada Setiausaha Agung PAS kerana telah membuat satu pendekatan baharu apabila membawa kelulusan keahlian baharu ahli DHPP ke dalam mesyuarat bulanan Jawatankuasa kerja PAS Pusat. Ia telah memberikan satu kesedaran dan rangsangan kepada PAS Negeri untuk mendaftarkan ahli DHPP.
  11. DHPP juga mengharapkan agar PAS dapat mempertimbangkan calon daripada DHPP pada PRU 15 selaras ucapan dasar dalam peranan bukan islam dalam pentadbiran negara walaupun menyedari bahawa PAS mungkin tidak bertanding sebanyak kerusi seperti PRU14 kerana pemuafakatan yang sedang dibina ketika ini.
  12. Akhir kata, seperti mana yang telah disebut oleh Presiden PAS bahawa konsep perpaduan ummah yang perlu difahami oleh ahli PAS mestilah berpadukan kepada Allah dan Rasulullah maka saya menyeru tema ISLAM MEMPERKUKUH PERPADUAN didokong oleh kita semua.

Warna hijau warna kesayangan,
Warna oren bukan jadi pilihan,
Bersatu teguh membina Perpaduan,
Bersatu hati mencapai kemenangan.

Kasi jatuh Warisan PH

Sekian. Terima kasih.