KOTA BHARU: Muktamar tahun ini berlaku kejutan apabila Pengarah filem terkenal Mohammed Murali Abdullah, 57 tampil menyerah borang menyertai PAS.

Sebelum ini beliau terbabit sebagai aktivis Parti Amanah Negara (PAN), bertindak meninggalkan parti terbabit.

Pada majlis bersejarah itu beliau menyerah borang menyertai PAS kepada Presiden Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebelum Muktamar PAS Ke-66 berhenti rehat.

Murali ketika memberitahu media selepas itu berkata, setelah menyerah borang menyertai PAS kepada Tuan Guru Abdul Hadi, jiwanya terasa lapang.

“Saya bersyukur kerana berpeluang menyerah borang keahlian pada majlis yang cukup bermakna sekali dalam hidupnya,” ujarnya.

Beliau memberitahu keputusannya menyertai PAS kerana tidak yakin lagi dengan perjuangan PAN yang disertainya hampir dua tahun lalu.

“Setelah kita bersama mereka (PAN) baru kita sedar sejauh mana kebenaran perjuangan parti itu.

“Yang paling besar mereka sering mengutuk bukan hanya kepada perjuangan PAS, sebaliknya Tuan Guru Presiden,” katanya.

Beliau juga berkata, akhlak Presiden PAS begitu baik membuatkannya lebih yakin pada perjuangan PAS yang mendukung Islam.

Murali juga berkata, beliau akan membuat dokumentari khas berkaitan Tuan Guru tidak lama lagi.

“Mungkin dengan cara ini orang ramai yang belum mengenali beliau dapat melihat perilaku, cara hidup seharian Tuan Guru,” ujarnya.

Murali pernah mengarah beberapa drama, filem, telefilem dan menggondol beberapa anugerah.

Antaranya Pengarah Terbaik Drama Anugerah Skrin 2008, Pengarah Drama Berunsur Islam Terbaik, Anugerah Media Islam Negara 2009 dan Pengarah Terbaik Drama Anugerah Skrin 2010. – HARAKAHDAILY 13/9/2020