KOTA BHARU, 13 Sept — Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi mengajak pemain industri di bawah kementerian itu tampil menghulurkan sumbangan untuk keperluan kesihatan di negara ini.

Menterinya Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata pihak kementerian akan menghantar surat kepada warga, agensi dan pemain industri di bawah kementerian itu untuk menyumbangkan kemudahan kesihatan terutama kepada golongan yang memerlukan.

“Tidak salah (sedikit daripada) keuntungan dipulangkan kepada rakyat yang memerlukan terutamanya yang sedang sakit untuk mendapat rawatan sebaik mungkin di hospital.

“Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) telah menyumbang lebih RM5 juta sejak awal penularan pandemik COVID-19 bagi melengkapkan lagi keperluan hospital bagi membantu rakyat yang sedang sakit,” katanya ketika ditemui Bernama selepas majlis penyampaian Mesin Ventilator di Hospital Raja Perempuan Zainab ll di sini, hari ini.

Beliau berkata sektor perladangan dan industri sawit negara sentiasa prihatin dalam usaha kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam membendung penularan wabak pandemik COVID-19.

Mohd Khairuddin berkata MPOA juga menubuhkan Tabung COVID-19 pada peringkat awal penularan wabak berkenaan dalam usaha menyalurkan sumbangan bagi membantu dan menyokong usaha kerajaan untuk membendung penularan wabak itu.

“Sepanjang  tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), MPOA telah menyumbangkan peralatan di berberapa hospital seperti Hospital Kuala Lumpur, Hospital Serdang dan Hospital Selayang melibatkan mesin Ventilator, Kit Ujian COVID-19 dan pelitup muka.

“Pelbagai bantuan telah disalurkan oleh penyumbang terbesar sektor agrikomoditi negara khususnya pengeluar sarung tangan getah, sektor kayu-kayan dan MPOA , namun kita mahu agensi serta pemain industri lain turut tampil memberikan sumbangan,” katanya.

— BERNAMA