Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) berharap pekebun kecil seluruh Malaysia memanfaatkan teknologi RRIM HYDROBEST dan pemprosesan getah krip bagi meningkatkan produktiviti kebun getah.

Teknologi RRIM HYDROBEST ialah bahan rangsangan lateks berasaskan air dengan dua fungsi iaitu meningkatkan pengeluaran lateks dan pada masa sama meminimumkan panel torehan menjadi kering.

“Ia merupakan formulasi berasaskan etefon dan telah diuji kepada pelbagai klon siri 2000 dan juga klon RRIM 3001,” kata kementerian dalam satu kenyataannya.

Kenyataan itu dikeluarkan KPPK berikutan lawatan kerja menterinya Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali ke Ladang Bukit Ibam, Muadzam Shah di Pahang baru-baru ini.

Ladang berkeluasan 2,050.20 hektar yang diuruskan oleh LGM Properties Corporation (LGMPC) itu mengandungi model pemprosesan getah krip serta serum pekat dan penggunaan teknologi RRIM HYDROBEST.

LGMPC ialah sebuah perbadanan di bawah Lembaga Getah Malaysia (LGM).

Sementara itu, KPPK berkata dalam usaha meningkatkan peranan dan taraf ekonomi pekebun kecil getah di samping terlibat secara langsung dalam rantaian pasaran getah, LGM telah memperkenalkan model pemprosesan getah krip.

Menurut kementerian, model ini memberi peluang kepada pekebun kecil untuk terlibat dalam aktiviti- aktiviti di sektor huluan, pengawalan kualiti bahan mentah serta pemprosesan getah.

“Ianya juga boleh digunakan sebagai rujukan kepada koperasi atau usahawan pekebun kecil bagi menghasilkan getah krip sebagai getah separa siap yang mempunyai ciri-ciri keseragaman dan kualiti baik di samping penghasilan serum pekat sebagai bahan tambah nilai,” jelasnya.

KPPK berkata model ini menekankan konsep “zero waste’ yang mana bahan buangan daripada aktiviti pemprosesan diguna semula dan diproses bagi menghasilkan bahan nilai tambah yang berpotensi untuk digunakan dalam sektor tertentu.

Koperasi atau usahawan yang berminat untuk menerajui bidang pemprosesan getah krip serta serum pekat ini akan dibimbing oleh LGM, tambahnya.

— BERNAMA