PUTRAJAYA: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) digesa melaporkan dakwaan mengenai jual beli minyak sawit haram kepada Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPKK).

Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali dalam satu kenyataan berkata, laporan itu harus dikemukakan beserta bukti dan sekiranya terdapat salah laku pegawai yang terlibat, tindakan undang-undang akan diambil.

“Kementerian menegaskan bahawa setiap aduan yang diterima dikategorikan sebagai amat penting dan disiasat mengikut operasi standard prosedur (SOP) yang ditetapkan serta peruntukan perundangan yang berkuat kuasa.

“Kementerian juga sedia maklum Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengguna pakai Sistem Pemantau Sawit (SPS) sejak tahun 2014 bagi mengawal selia setiap pergerakan kenderaan yang membawa minyak sawit untuk mengelakkan daripada terlibat aktiviti salah laku,” ujarnya di sini semalam.

Baru-baru ini Utusan Malaysia melaporkan YPNM menggesa kerajaan agar menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat ketirisan dan ketidakcekapan pengurusan industri sawit di Malaysia.

YPNM mengesan ketirisan, salah guna kuasa dan ketidakcekapan dalam pengurusan industri sawit negara hasil siasatan selama dua tahun.

Mengulas lanjut, Khairuddin turut meminta agensi dan persatuan industri sawit lain seperti FELCRA, FELDA, Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) dan lain- lain untuk memberikan maklum balas berkaitan dakwaan yang dibuat.