Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK)  akan mengemukakan laporan akhir kajian menyeluruh situasi buruh sektor perladangan sawit Malaysia kepada Jabatan Buruh Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) sebagai langkah untuk mengelak sekatan ke atas produk agrikomoditi negara pada masa depan. 

Menterinya, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali berkata langkah itu juga sebagai antara inisiatif untuk mengeluarkan sektor perladangan sawit Malaysia daripada Senarai Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan (TVPRA). 

“Sebagai makluman, KPPK telah membentangkan kajian situasi buruh sektor perladangan sawit Malaysia dan telah diterima oleh Kabinet pada 24 Julai 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata KPPK akan terus mengadakan sesi libat urus dengan pemegang taruh untuk mencari penyelesaian yang efektif bagi menangani isu tersebut. 

“Malaysia komited mengenai isu perburuhan dalam sektor perladangan komoditi ini yang elemen kawalan perburuhan telah dimasukkan sebagai antara syarat pelesenan ladang sawit di bawah pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang berkuat kuasa secara mandatori mulai 1 Januari 2020,” katanya. 

Semalam, Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS menerusi perintah pelepasan tahan telah menyekat semua produk FGV apabila penyiasatan mendapati terdapat penggunaan buruh paksa.

Menurut jabatan itu, perintah tersebut susulan penyiasatan yang dijalankan selama setahun apabila membawa pendedahan penggunaan buruh paksa termasuk penipuan; sekatan pergerakan; pengasingan; keganasan fizikal dan seksual; intimidasi dan ancaman; penyimpanan dokumen pengenalan diri; penahanan gaji; perhambaan hutang; keadaan hidup dan kerja berlebihan.

FGV dalam kenyataan hari ini telah menzahirkan kekecewaannya ke atas sekatan tersebut kerana pengeluar sawit mentah terbesar itu telah mengambil pelbagai langkah untuk menghormati hak asasi manusia dan menegakkan piawaian pekerja.

“Malah, dalam kenyataan kami pada 26 September lalu, pelbagai tindakan telah dilakukan FGV untuk menghormati komitmen berkenaan,” katanya.

Berdasarkan data yang dikeluarkan KPPK, bagi tempoh Januari-Julai 2020, jumlah eksport agrikomoditi ke AS bernilai RM11.8 bilion. 

— BERNAMA