KUALA LUMPUR – Malaysia akan membantu Nigeria membangunkan industri halal di negara itu menerusi pembinaan Hab Perniagaan Halal untuk menghasilkan produk halal, pensijilan makanan halal dan pengurusan makanan halal.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, selain merupakan antara negara dengan penduduk Islam terbesar, Nigeria memiliki pasaran halal yang kian berkembang.

Jelasnya, ia meliputi segmen makanan hinggalah ke bidang-bidang lain seperti logistik, fesyen, kosmetik, perbankan Islam dan rantaian bekalan.

“Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bersedia untuk membantu Nigeria khususnya membabitkan produk-produk halal berasaskan agrokomoditi keluaran tempatan bagi mengembangkan lagi pasaran produk halal di negara itu.

“Ini adalah contoh terbaik untuk menjalinkan hubungan global dalam perkembangan industri halal di seluruh dunia dan ummah secara  keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya, Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia di mana pembangunan industri halal disokong oleh kerajaan selain menggalakkan sinergi kerjasama antara sektor  swasta dan sektor awam.

Beliau semalam menyampaikan ucaptama pada Majlis Perasmian Ekspo Maya Halal Dunia dan Siri Webinar 2020 yang antara lain memfokuskan kepada industri halal dunia yang kini bernilai kira-kira RM9.57 trilion dan kaitannya dengan produk-produk agrikomoditi.

“Industri halal bukan sekadar membabitkan segmen makanan dan minuman dalam masyarakat malah meliputi produk hiliran komoditi seperti coklat, sarung tangan getah, produk minyak sawit, kosmetik dan pelbagai lagi,” katanya. -K! ONLINE