KUALA LUMPUR, 21 Oktober – Pejabat Peguam Negara telah memutuskan tiada tindakan akan dikenakan terhadap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali atas kesalahan melanggar kuarantin wajib COVID-19.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata kertas siasatan oleh polis sudah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dan pejabat itu memutuskan untuk tiada tindakan lanjut (NFA).

“Kertas siasatan sudah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara dan arahan untuk kes ini adalah ‘no further action’.

“NFA atas alasan YB Menteri (Khairuddin) tidak diserahkan Borang 14b di bawah Seksyen 15 (1) Akta 342 bagi tujuan menjalani perintah kuarantin.

“Berdasarkan keterangan itu, maka Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk tidak mengemukakan sebarang pertuduhan terhadap YB Menteri (Khairuddin) memandangkan tiada keterangan yang kukuh bagi mengasaskan pertuduhan,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Sebelum ini, polis telah membuka kertas siasatan terhadap Mohd Khairuddin selepas gagal mematuhi kuarantin wajib di rumah setelah pulang dari Turki, pada 7 Julai lalu.

Polis menjalankan siasatan ke atasnya mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) susulan 27 laporan yang diterima polis berhubung perkara itu.