Ayer Hitam – Lada hitam bukanlah sesuatu yang baharu di negeri Johor yang dimana dahulu terkenal dengan penanaman lada hitam. Lada hitam dahulunya merupakan hasil utama negeri Johor selama lebih 70 tahun ketika zaman pemerintahan Temenggung Ibrahim, Sultan Abu Bakar dan Sultan Ibrahim. Pengeluarannya memberikan pendapatan yang mampu menampung pembangunan negeri Johor pada abad ke-19.

Pegawai Tugas-Tugas Khas, Dato’ Ust Mohd Zamani dan Setiausaha Akhbar, Ustaz Muhammad Faudzi mewakili Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Ustaz Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali telah melakukan lawatan ke lading lada hitam di Ayer Hitam dan mengadakan perjumpaan bersama Persatuan Penanam dan Usahawan Lada Selatan (PEDAS). Turut hadir dalam perjumpaan tersebut Pengerusi PEDAS, En Nordin Kanchil.

Lawatan ke Ladang Lada Hitam

Perjumpaan tersebut turut membincangkan mengenai isu-isu yang dihadapi oleh penanam lada hitam di Johor. Dalam pertemuan tersebut pihak persatuan telah berkongsi ilmu dan maklumat mengenai kegiatan penanaman lada hitam di negeri Johor. Turut dibincangkan berkenaan untuk mewujudkan pasaran baharu lada hitam samada huluan dan hiliran.

Johor juga bakal dijadikan hub penanaman lada hitam nusantara sebagaimana sejarah yang lalu. Kehebatan Johor dalam industri lada hitam turut diabadikan di dalam logo Majlis Bandaraya Johor Bahru dan alat kebesaran istana. Penanaman lada hitam turut menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi Johor. Ia juga telah mengubah negeri Johor daripada aktiviti tradisi di laut kepada kerajaan moden yang melakukan aktiviti pertanian.