Putrajaya, 1 November – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dengan kerjasama Lembaga Getah Malaysia (LGM) akan membangunkan Pusat Pemprosesan Getah Berkelompok dalam memasarkan hasil pengeluaran getah dengan harga yang berpatutan.

Inisiatif ini mampu meningkatkan kualiti getah yang dihasilkan disamping meningkatkan pendapatan penoreh dengan jaminan bekalan getah yang berkualiti kepada industri pembuatan produk getah negara. 

Kaedah pelaksanaan projek ini adalah menerusi rantaian bersepadu bekalan getah berskala komersial dengan elemen pemprosesan berkelompok. Hasil keuntungan akan dikongsi pada peringkat pekebun kecil, koperasi dan usahawan. 

KPPK mempertimbangkan dana sebanyak RM 6 juta bagi melaksanakan projek ini sepenuhnya pada tahun 2021. Pekebun kecil yang berminat untuk menyertai projek ini disarankan untuk menubuhkan koperasi getah di kawasan masing-masing.