PUTRAJAYA – Pekerja tempatan digalakkan bekerja dalam sektor perladangan dan komoditi di saat industri berkenaan menghadapi kekurangan tenaga kerja susulan pandemik Covid-19 yang kini memasuki gelombang ketiga.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pihaknya menyedari kekurangan tenaga kerja dalam sektor perladangan dan komoditi agak kritikal yang dikhuatiri boleh menjejaskan prestasi dan kemajuan industri agrikomoditi negara.

Malaysia masih berdepan kekurangan lebih 500,000 pekerja sektor perladangan dan komoditi dengan anggaran jumlah keluasan 7.14 juta hektar tanah ladang di negara ini.

Kementerian akan melipatgandakan usaha untuk mengisi kekurangan tenaga kerja dalam sektor perladangan dan komoditi dengan mengadakan kempen untuk mengajak lebih ramai rakyat tempatan termasuk orang asli bekerja dalam sektor ini.

Kementerian juga akan terus bergerak ke arah memberi keutamaan kepada rakyat tempatan bekerja dalam sektor perladangan dan komoditi selain memperkasakan modal insan melalui latihan dan kursus di bawah Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia.