PUTRAJAYA – Sektor koko di Malaysia telah mencatat pendapatan eksport sebanyak RM6.6 bilion pada tahun 2019 dengan sumbangan sektor hiliran kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sebanyak RM1.6 bilion. Turut dicatatkan pendapatan daripada eksport pembuatan coklat sebanyak RM1.14 bilion iaitu 17.3 peratus. Manakala bagi produk-produk koko merekodkan peningkatan sebanyak 10.6 peratus pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kerajaan berhasrat merealisasikan Muzium Coklat Langkawi sebagai tarikan pelancongan berasaskan coklat yang tersohor di Asia Tenggara.

Menurut beliau, pihak kementerian juga berhasrat untuk membangunkan hab coklat di pulau pelancongan itu seterusnya menjadikan Malaysia sebagai ‘King of Chocolate’ di rantau Asia.

Beliau sebelum ini telah mengadakan lawatan kerja ke Chocolate Museum, Kota Damansara milik DR Group Holdings. Dalam lawatan itu juga telah berjaya meningkatkan kerjasama antara pihak kedua-dua pihak bagi merancakkan lagi pembangunan sektor koko negara.

Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali turut memaklumkan nilai eksport biji koko dan produk berasaskan koko bagi tempoh lima bulan pertama pada tahun 2020 adalah sebanyak RM2.6 bilion iaitu meningkat sebanyak 0.5 peratus bagi tempoh yang sama pada tahun 2019.

Namun dijangkakan sumbangan pendapatan eksport produk-produk coklat akan menurun sebanyak 18 peratus pada tahun ini berikutan penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP). Sementara itu katanya, terkini terdapat sebanyak 53 syarikat pengilang coklat dan konfeksi koko terdiri daripada empat syarikat multinasional dan 49 syarikat tempatan di seluruh negara.

Justeru itu, kementeriannya juga bercadang untuk melahirkan lebih ramai usahawan coklat buatan tangan melalui Pelaksanaan Program Pembangunan Usahawan Coklat.

“Usaha mempergiatkan pelaksanaan program pembangunan usahawan dan meningkatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan akan terus diberi keutamaan,


“Di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), KPPK akan meneruskan usaha mengembangkan industri hiliran koko menerusi program-program game changer seperti mewujudkan hab perdagangan koko dan memperkenalkan kluster industri hiliran koko, “ujar beliau lagi.